Friday 18 May 2012

MEMBANGUNKAN DAN MEMULAKAN PERNIAGAAN

 

Sebelum memulakan perniagaan, terdapat beberapa pertimbangan penting yang perlu diberi pertimbangan dan perhatian oleh para usahawan antaranya ialah:

1. Kemampuan Diri
- Seseorang usahawan perlu menilai dan mengukur kemampuan dirinya terlebih dahulu sebelum memulakan perniagaan.
- Penilaian diri biasanya diukur melalui pengalaman yang dimiliki, pengetahuan dan bidang khususnya dalam bidang perniagaan yang diceburi. 
- Berkeupayaan untuk mendapatkan modal, mempunyai minat, daya tahan dan kesungguhan yang tinggi untuk memulakan perniagaan.
 
2. Modal dan Kedudukan Kewangan
- Sebelum memulakan perniagaan, usahawan perlulah mempunyai sejumlah modal permulaan yang mencukupi bagi menampung kos perbelanjaan permulaan untuk sesebuah perniagaan yang ingin dibuka.
- Antara perbelanjaan permulaan yang perlu diambil kira oleh usahawan seperti membayar gaji pekerja, bil elektrik, air dan telefon, kos untuk membeli bahan mentah, membayar sewa bangunan atau pejabat, membeli kelengkapan pengeluaran dan sebagainya.
- Sumber-sember alternatif yang digunakan oleh usahawan untuk menampung kos permulaan perniagaan seperti meminjam wang daripada ahli keluarga atau sahabat handai ataupun meminjam wang daripada bank.


Wednesday 16 May 2012

INOVASI DALAM PERNIAGAAN













Inovasi merupakan satu kaedah mencari jalan untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan kepada yang lebih baik. Setiap organisasi/syarikat sama ada yang menjalankan perniagaan berasaskan keuntungan atau tidak akan bersaing untuk menghasilkan suatu idea yang kreatif bagi meningkatkan kualiti keluaran terhadap sesuatu produk atau perkhidmatan yang dijalankan. Inovasi juga adalah perubahan cara berfikir untuk mendapatkan hasil atau produktiviti yang lebih baik dari semasa ke semasa dengan menghasilkan sesuatu yang baru di pasaran yang akan merubah persamaan di antara permintaan dan pengeluaran. Ia bukan hanya berkaitan sains dan teknologi semata-mata.


 
                                                                                                                                                                             

Persekitaran perniagaan yang ada pada masa kini adalah bersifat dinamik dan para usahawan terpaksa berhadapan dengan perubahan teknologi yang begitu pantas. Seorang usahawan perlu menghadapi cabaran-cabaran ini untuk menangani perubahan ekonomi moden yang banyak menggunakan teknologi berbanding tenaga manusia. Kemajuan internet, dan perkembangan teknologi maklumat turut memberi cabaran di dalam perniagaan dan persaingan pasaran di antara usahawan yang akan menjadi semakin pesat. 
        Para usahawan perlu mempunyai kreativiti dan inovasi yang tinggi bagi menyesuaikan diri di dalam arus perniagaan moden yang bergerak dengan pantas kepada tranformasi pasaran khasnya dalam bidang perniagaan yang sedang atau akan dijalankan oleh usahawan. Sehubungan dengan itu para usahawan perlulah menanam budaya inovasi dan kreativiti tersebut ke dalam diri setiap usahawan bermula dari hari ini. Terdapat empat jenis inovasi yang boleh digunakan oleh usahawan dalam menjalankan aktiviti-aktiviti perniagaan antaranya ialah:
  • Penambahbaikan ke atas suatu produk atau perkhidmatan dengan penghasilan yang kreatif oleh usahawan untuk bersaing dengan pesaing di dalam pasaran. (duplikasi)
  • Penciptaan sesuatu produk atau perkhidmatan baru yang belum pernah dicuba atau direkacipta oleh orang lain dan pesaing.
  • Sintesis iaitu gabungan di antara konsep dan faktor yang sedia ada ke dalam satu fomulasi yang baru serta boleh diaplikasikan ke atas produk atau perkhidmatan yang sedia ada.
  • Pengembangan perniagaan dengan menggunakan teknik dan aplikasi yang berbeza ke atas produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.
            
Justeru itu, sebelum memulakan perniagaan seseorang usahawan perlulah mengkaji setiap aspek bagi membolehkan usahawan terus bertahan dalam sebarang bidang perniagaan yang dilakukan. Faktor kejayaan bagi seseorang usahawan adalah mereka mengamalkan budaya inovasi yang tinggi dalam menjalankan perniagaan. Maka sudah tiba masanya bagi para usahawan untuk menanamkan semangat berinovasi dan kreatif yang tinggi dalam bidang perniagaan yang diceburi. Semoga dengan pendekatan inovasi ini dapat membantu para usahawan dalam mengejar kejayaan kearah yang lebih cemerlangan.